Sorting by

×

10 ANAK SYARIKAT MCORP CATAT KEUNTUNGAN

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 18 Disember – Anak syarikat di bawah Perbadanan Melaka (MCORP) menunjukkan prestasi membanggakan apabila hampir keseluruhan daripadanya mencatat keuntungan pada tahun 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar berkata, daripada 11 anak syarikat, 10 daripadanya berjaya melepasi paras keuntungan sekali gus membuktikan keberkesanan gerak kerja setiap anak syarikat tersebut.

“Saya harap semua pihak dapat teruskan momentum ini dan saya akan pantau secara bulanan, di mana kita akan ‘brainstorm’ menerusi mesyuarat bagi memastikan segala pandangan serta pendapat dapat diraikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Disember 2025 MCORP di lobi Menara MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Operasi Teknikal MCORP, Mohd Nazimudin Mohamad serta wakil setiap anak syarikat di bawah MCORP.

Dalam pada itu, Mohd Yusof menyeru semua kakitangan MCORP serta anak syarikat supaya membuat persediaan sewajarnya untuk tahun 2026 dan dapat mengatasi prestasi pada tahun sebelumnya.

“Untuk persediaan tahun 2026, kita kena capai lebih baik daripada 2025 dari semua segi seperti kewangan, projek dan berkaitan.

“Saya harap semua ketua unit, bahagian, seksyen serta anak syarikat dapat ‘brainstorm’ sebaiknya bagi memastikan segala sasaran dapat dicapai serta mengatasi prestasi tahun sebelumnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

381
Kongsi :
Previous post 10 PREMIS DI MELAKA SERTAI JUALAN RAHMAH KEMBALI KE SEKOLAH
Next post UPNM BAWA LIMPAHAN MANFAAT UNTUK SK TELOK MAS, SMK TUN TIJAH