
10 INDIVIDU TERMASUK PEGAWAI, BEKAS PEGAWAI TENTERA DITAHAN DISYAKI TERLIBAT PENYELUDUPAN
Menurut sumber, kesemua individu berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun itu termasuk seorang warga Indonesia ditahan di sekitar Lembah Klang menerusi Ops Sohor dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) bermula 6.30 pagi tadi.
“Pegawai berkenaan adalah daripada bahagian perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakala dua bekas pegawai terbabit juga dahulu daripada bahagian sama. Mereka ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti penyeludupan.
“Mereka dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan sejak lima tahun lepas dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah lebih RM3 juta,” katanya kepada Bernama.
Siasatan awal mempercayai pegawai dan bekas pegawai kanan itu telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup, sekali gus memudahkan kemasukan barang larangan seperti dadah, rokok dan pelbagai barangan lain dari negara jiran ke Malaysia, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5 juta sebulan.
“Serbuan itu hasil maklumat risikan selama kira-kira setahun dan suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap trip penyeludupan dijalankan,” katanya.
SPRM menyita wang tunai lebih RM63,000, bungkusan dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras dan senjata tiruan yang ditemukan di premis serbuan.
Warga Indonesia berkenaan ialah seorang wanita yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kesemua individu terbabit akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.