Sorting by

×

100 PESAKIT JANTUNG TERIMA MANFAAT KERJASAMA PUTRA-IJN

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KOTA LAKSAMANA 13 April – Kerjasama strategik antara Putra Specialist Hospital dan Institut Jantung Negara (IJN) menunjukkan perkembangan positif apabila seramai 100 pesakit telah menerima rawatan jantung di hospital berkenaan setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Putra Specialist Hospital, Mohd Zahiruddin Ahmad berkata, perkembangan itu mencerminkan keberkesanan kolaborasi berkenaan dalam memperluaskan akses rawatan kepakaran kepada pesakit di Melaka dan kawasan selatan tanah air.

Menurutnya, kerjasama itu membolehkan pakar IJN hadir secara berkala di hospital berkenaan bagi menjalankan pelbagai prosedur rawatan untuk pesakit.

“Putra Specialist Hospital merupakan satu-satunya hospital di Melaka yang mempunyai kerjasama strategik dengan IJN, malah doktor pakar akan bertugas di sini beberapa hari seminggu.

“Pelbagai prosedur kritikal dilaksanakan termasuk pembedahan pintasan jantung (bypass) dan pemasangan stent (stenting), sekali gus memberi kemudahan kepada pesakit mendapatkan rawatan tanpa perlu ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jaket Keselamatan Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn. Bhd. dan Rumah Terbuka Aidilfitri Putra Specialist Hospital, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Zahiruddin berkata, pihaknya juga merancang untuk memperluaskan lagi perkhidmatan tersebut dengan meningkatkan tempoh kehadiran pakar IJN di hospital itu.

Berikutan itu katanya, hospital itu bakal menerima sebuah mesin CT scan baharu bernilai lebih RM7 juta dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang.

“Teknologi dan spesifikasi terkini itu dijangka meningkatkan keupayaan diagnosis khususnya dalam bidang kardiologi serta mempercepatkan proses rawatan kepada pesakit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

448
Kongsi :
Previous post LEBIH 2,000 TIKET MELAKA RIVER CRUISE TERJUAL DI MATTA FAIR 2026
Next post MELAKA SASAR LEBIH 5,000 PROGRAM SEMARAK PERPADUAN SEPANJANG 2026