
1,000 BERGANDING BAHU MUSNAHKAN ‘RUMAH’ AEDES
SUNGAI UDANG 29 Mei – Seramai 1,000 penduduk bersama pelbagai wakil jabatan dan agensi berganding bahu pada program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Melaka bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Taman Desa Tun Razak, di sini, hari ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, program itu disusun memandangkan kawasan berkenaan pernah menjadi ‘hotspot’ dan lokaliti wabak denggi berulang di Negeri Melaka.
Beliau yang juga Penyelaras DUN Sungai Udang memaklumkan, program tersebut melibatkan pelbagai agensi antaranya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Jabatan Kesihatan Negeri Melaka; SWM Environment; Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan lain-lain bertujuan untuk memusnahkan sarang pembiakan nyamuk Aedes, selain memberi kesedaran kepada masyarakat untuk lebih cakna terhadap kebersihan persekitaran.
“Ini merupakan program gotong-royong mega pertama diadakan pada tahun ini dan kita bersyukur kerana Sungai Udang dipilih sebagai lokasi pertama bersempena WRUR yang berlangsung selama dua minggu.
“Pada, saya program ini amat bertepatan dalam program bersama rakyat supaya kes denggi yang berlaku di kawasan ini dapat dinoktahkan,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad; Ketua Polis Melaka Dato’ Dzulkhairi Mukhtar; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, pada program itu, selain aktiviti gotong-royong, turut disediakan pameran di Lori Denggi Buster serta booth perangkap nyamuk Malaysian Integrated Mosquito Management Automated and Technology (MyMAT) yang berfungsi untuk mengawal populasi nyamuk Aedes secara berkesan yang dibawa oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.