
10,000 MERIAHKAN MALAM GALA RENTAK BERTANDAK ANTARABANGSA
BANDA HILIR 5 Julai – Hampir 10,000 pengunjung memeriahkan Malam Gala Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka 2025 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, malam tadi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Festival Rentak Bertandak yang berlangsung hampir seminggu itu adalah pentas silang budaya yang mengangkat nilai warisan.
Katanya, ia bukan pesta yang melalaikan, tetapi medan untuk memperkasa jati diri dan memartabatkan warisan serantau dengan penuh adab serta kesopanan.
“Program ini bukan sekadar memperlihatkan seni tari dunia, malah menjadi suntikan ekonomi kepada penggiat seni, usahawan tempatan, karyawan muda dan industri pelancongan.
“Lebih 40 acara budaya berlangsung seperti pertandingan zapin antarabangsa, bicara seni, demonstrasi silat, silambam, wushu, bazar warisan hingga ke permainan tradisional Konda Kondi, semuanya memperlihatkan kekayaan budaya kita.
“Turut memeriahkan suasana, kehadiran 13 negeri dan lima negara serumpun seperti Indonesia, Sri Lanka, Thailand dan pelbagai lagi yang datang dari jauh hadir semata-mata kerana cinta pada budaya Melayu serta warisan Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Malam Gala Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka 2025 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta kenamaan lain.
Malam gala itu turut diserikan dengan persembahan memukau artis terkenal tanah air seperti Siti Nordiana dan Datuk M Nasir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.