Sorting by

×

101 PROGRAM ‘GAMATKAN’ KARNIVAL DEMI PAYA RUMPUT

Masa Membaca:2 Minit, 34 Saat

PAYA RUMPUT 8 Februari – Sebanyak 101 program untuk segenap lapisan masyarakat bakal menggamatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput bermula hari ini hingga 15 Februari depan.

Ia bersempena penganjuran Karnival Demi Paya Rumput yang berkonsepkan program santunan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, karnival itu diilhamkan bukan sekadar sebuah medan hiburan dan rekreasi, bahkan lebih penting sebagai platform mendekati dan menyantuni rakyat.

Jelas beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, program itu juga selaras dengan hasrat untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat di DUN Paya Rumput sentiasa diberi perhatian.

“Alhamdulillah karnival ini adalah antara manifestasi saya selaku wakil rakyat kawasan menyahut agenda Melaka Sayang Rakyat yang diangkat Ketua Menteri.

“Sepanjang lapan hari penganjuran, kita akan menjelajah ke segenap pelusuk kawasan dalam DUN Paya Rumput dengan pengisian yang pelbagai daripada kanak-kanak ke orang muda, hinggalah ke golongan dewasa dan warga emas berbilang kaum.

“Kalau boleh kita mahu keseluruhan 91,000 penduduk di Paya Rumput ini merasai nikmat dan manfaat daripada penganjuran karnival ini yang semenangnya berfokus kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Demi Paya Rumput dan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bilangan 1 Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Padang Awam Taman Rambai Jaya, di sini, hari ini.

Perasmian karnival berkenaan telah disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan selaku wakil rasmi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta lain-lain kenamaan.

Menurut Rais, antara pengisian yang dirancang sepanjang karnival itu berlangsung adalah seperti acara sukan untuk anak muda, sukan rakyat, program kerohanian sehinggalah program berkonsep perpaduan dan hiburan.

Jelas beliau, Paya Rumput Berselawat dan Konsert Amal Hitam Manis yang menampilkan Datuk Hattan, Black Hanifah dan Hazama dijangka menjadi antara acara tumpuan utama, di mana ia akan diadakan di Stadium Hang Jebat pada 13 dan 14 Februari ini.

“Acara kemuncak karnival ini akan dirasmikan Ketua Menteri pada 14 Februari (Sabtu) dan pada sebelah malam pula Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bakal melancarkan Tabung Pendidikan Anak-Anak DUN Paya Rumput,” katanya.

Justeru, beliau menyeru seluruh warga Paya Rumput untuk memeriahkan pelbagai program yang dirangka dari 8 hingga 15 Februari demi memupuk keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di kawasan tersebut.

Img 20260208 wa0013
RAIS bersama isteri mengagigkan ayam percuma kepada penduduk pada Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Demi Paya Rumput dan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bilangan 1 Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Padang Awam Taman Rambai Jaya.

Terdahulu, pada program itu, Rais bersama Japerun Paya Rumput turut mengagihkan 400 ekor ayam percuma kepada penduduk.

Beliau juga sempat menyantuni peniaga Jualan Agro Madani, selain turut bersama masyarakat menyertai pelbagai acara sukan rakyat dan sukaneka yang dianjurkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

378
Kongsi :
Previous post MELAKA ANJUR SEMINAR ANTARABANGSA MARITIM, KUPAS PENEMUAN ‘KAPAL PURBA’
Next post AGENDA KEBAJIKAN, KESEJAHTERAAN RAKYAT JADI FOKUS UTAMA MELAKA