Sorting by

×

1,114 JUALAN RAHMAH DIANJURKAN DI MELAKA TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PAYA RUMPUT 19 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka memperluaskan inisiatif membantu rakyat dengan menganjurkan sebanyak 1,114 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negeri setakat ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, jumlah itu merangkumi pelaksanaan PJRM premis dan luar premis serta PJRM bergerak yang diadakan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya sebanyak 20 pasar raya telah melaksanakan PJRM premis secara berterusan, manakala 28 lokasi PJRM bergerak turut diadakan setiap bulan dengan sasaran sekurang-kurangnya tiga kali program bagi setiap 28 DUN di Melaka.

“Setiap kali pelaksanaan PJRM masyarakat menerima subsidi sehingga 30 peratus dan ini memberi manfaat besar khususnya kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ekspedisi Dua Roda PJRM dan Pelaksanaan Aplikasi Mobile Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah KPDN Melaka Dr. Mohd Hazimin Jamaludin.

Menurut Allex, PJRM dilaksanakan menerusi tiga model iaitu PJRM bergerak di kawasan perumahan dan kampung, PJRM premis di pasar raya serta kedai runcit dan PJRM luar premis yang diadakan secara terbuka dengan kapasiti lebih besar.

“Ketiga-tiga model ini terus digerakkan melalui kerjasama rakan strategik yang memenuhi syarat pelantikan bagi memastikan manfaatnya sampai kepada rakyat di seluruh Melaka,” katanya.

Terdahulu, program itu turut menyaksikan sebanyak 52 motosikal berkuasa tinggi telah mengadakan konvoi merentasi ketiga-tiga daerah sebagai simbolik pelaksanaan menyeluruh PJRM serta mempromosikan penggunaan aplikasi mobile eCOSS.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

221
Kongsi :
Previous post MELAKA TROPICAL FRUIT HARM ‘HIDUP SEMULA’ TAHUN DEPAN
Next post 13,000 POKOK ‘HIJAUKAN’ KAWASAN TADAHAN AIR MELAKA