
12 KEMENTERIAN ‘BERKAMPUNG’ DI MITC JAYAKAN SAMBUTAN HARI TVET NEGARA
AYER KEROH 11 Jun – Pelbagai agensi daripada 12 kementerian ‘berkampung’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bagi menjayakan sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025, yang bermula hari ini sehingga Sabtu.
Bertemakan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’, penganjuran program ini diharap dapat menarik minat pengunjung pelbagai lapisan usia termasuk pelajar dan pencari kerja.
Malah, sambutan selama tiga hari ini juga berfungsi sebagai platform utama bagi mempromosikan laluan kerjaya berasaskan kemahiran kepada masyarakat.
Pengunjung Bala Chander, 24, berkata, penyertaan pelbagai agensi di bawah satu bumbung amat membantu pengunjung untuk mendapatkan maklumat dan secara tidak langsung memberi mendedahkan mengenai pelbagai bidang ditawarkan menerusi TVET.

Dia menganggap, pengisian sambutan juga amat padat kerana bukan hanya tertumpu kepada pameran TVET semata-mata, sebaliknya turut menawarkan peluang bagi melanjutkan pengajian hasil kerjasama dengan pemain industri berkaitan.
“Sambutan ini merupakan platform terbaik dalam menjadikan TVET pilihan utama sama ada untuk melanjutkan pengajian atau sebagai kerjaya. Dengan sembilan sektor utama sudah pasti bidang TVET ini memberikan peluang kerjaya yang luas dengan kepelbagaian untuk dipilih.
“Sejujurnya saya berasa berbaloi datang ke sini, kerana banyak membantu saya mendapatkan ilham dalam menyiapkan tugasan projek diberikan pensyarah,” katanya ketika ditemui di Sambutan Hari TVET Negara 2025, di MITC, hari ini.
Penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu berharap orang ramai terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merebut pelbagai peluang ditawarkan bersempena penganjuran program itu.
“Dengan adanya sambutan sebegini masyarakat khususnya akan mendapat pendedahan lebih luas tentang TVET, sekali gus menjadikan TVET sebagai pilihan utama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.