
12 TOKOH DIIKTIRAF SEMPENA MAAL HIJRAH DI MELAKA
BEMBAN 26 Jun – Kerajaan Melaka memperuntukkan sebanyak RM86,000 kepada 12 Tokoh Maal Hijrah 1447H/2025M atas jasa dan sumbangan mereka dalam memperkasa pembangunan umat Islam di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penghargaan itu sebagai tanda pengiktirafan kepada tokoh-tokoh yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memartabatkan syiar Islam di Melaka.
“Penerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq menerima pakej umrah bernilai RM10,000 dan wang tunai RM10,000. Sementara itu 11 tokoh lain masing-masing menerima Pakej Kembara Ilmiah bernilai RM3,000 serta wang tunai RM3,000.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua tokoh yang menerima anugerah ini. Semoga segala sumbangan mereka diterima sebagai amal jariah yang diberkati dan mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka 1447H/2025M bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’ di Masjid Al-Hakeem, Kampung Tehel di sini, malam ini.
Majlis telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Yang turut hadir, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Raziff Yakop.
Terdahulu dalam ucapannya Ab Rauf berharap Melaka mampu berdiri sebagai sebuah negeri contoh yang membawa perubahan positif daripada segi teknologi dan nilai bagi memberi manfaat kepada generasi hari ini serta akan datang.
“Inilah semangat hijrah yang kita mahu sematkan dalam jiwa setiap lapisan masyarakat. Semoga kita terus diberi kekuatan dan iltizam untuk menegakkan prinsip Maqasid Syariah, demi kesejahteraan serta
kemaslahatan bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.