
120 GOLONGAN KURANG MAMPU DALAM PARLIMEN TANGGA BATU TERIMA BANTUAN RAMADAN
PAYA RUMPUT 7 Mac – Kebajikan rakyat Melaka khususnya asnaf, orang kurang upaya (OKU), mualaf, anak yatim sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Katanya, selaras dengan inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) sebanyak RM12,000 disumbangan kepada golongan berkenaan yang menetap dalam Parlimen Tangga Batu.
Ketua Menteri berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan beban perbelanjaan penerima sepanjang bulan Ramadan.
“Sumbangan tersebut mungkin tidak besar nilainya, namun ia lahir daripada rasa tanggungjawab dan kasih Kerajaan Negeri terhadap rakyat.
“Dalam meraikan kemeriahan dan kemuliaan Ramadan, kita tidak menafikan bahawa ada rakyat menempuh bulan ini dengan penuh kesederhanaan, malah mungkin dengan sedikit kegusaran, memikirkan perbelanjaan dapur serta keperluan anak- anak.
“Atas dasar keprihatinan inilah, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan tiada rakyat yang berasa terpinggir,” katanya ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Masjid As-Solihin, Kariah Taman Seri Paya Rumput di sini hari ini.
Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hasim dan Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, bukan nilai yang menjadi ukuran, tetapi tanda ingatan bahawa rakyat sentiasa berada dalam perhatian Kerajaan Negeri.
“Sumbangan ini mungkin tidak besar nilainya, namun ia lahir daripada rasa tanggungjawab dan kasih Kerajaan Negeri terhadap rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


