
129 WARGA EMAS DITEMPATKAN DI RSK CHENG
SERI NEGERI 10 Disember – Seramai 129 orang warga emas kini mendapat perlindungan dan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan Cheng (RSK) setakat Oktober tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, bagi menyediakan kehidupan yang sejahtera dan kualiti hidup yang baik pelbagai perkhidmatan disediakan untuk penghuni institusi itu.
“Di RSK Cheng ini kapasiti maksimumnya hanya mampu menempatkan seramai 150 penghuni dan kekosongan berbaki 21 orang sahaja lagi.
“Selain memberi jagaan dan perlindungan beberapa perkhidmatan turut disediakan antaranya terapi cara kerja, fisioterapi dan rawatan perubatan kepada penghuni ini demi menjamin kesejahteraan serta kualiti hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, semalam.
Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, sejumlah RM5,145,900 diperuntukkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka bagi pengoperasian RSK untuk setahun.
“Selain memberi manfaat kepada 129 penghuni dan 72 orang kakitangan, peruntukan itu turut meliputi beberapa komponen perbelanjaan utama lain seperti perkhidmatan dan bekalan termasuk wang saku penghuni,” katanya.
Jelas beliau, kemasukan ke RSK Cheng mempunyai dua kaedah sama ada secara sukarela atau perintah mahkamah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


