
13 Taska, lapan pusat jagaan diambil tindakan oleh JKM
AYER KEROH 7 Mac – 13 taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan lapan pusat jagaan sekitar negeri ini dikenakan tindakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh Januari 2022 hingga 5 Mac lalu.
Pengarah JKM negeri Burhanuddin Bachik berkata, tindakan diambil selepas pihaknya mengesan berlaku pelanggaran akta dan peraturan selain tidak berdaftar dengan pihaknya.
“Dua Taska dan dua pusat jagaan dikenakan Tindakan Penguatkuasaan Lak (seal). Setakat ini JKM mengenal pasti 31 Taska dan 33 pusat jagaan yang tidak berdaftar di seluruh Negeri Melaka, justeru tindakan berperingkat akan diambil terhadap pengusaha atau pemilik premis berkenaan.
“JKM Melaka kini dalam usaha untuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas Taska dan pusat jagaan yang tidak berdaftar, selain itu kita turut menjalankan aktiviti pematuhan peruntukan akta serta peraturan keatas premis yang berdaftar,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pelanggaran kepada akta dan peraturan ditetapkan akan memberi implikasi terhadap kesejahteraan dan keselamatan kumpulan atau pihak mendapatkan perkhidmatan pengasuhan di premis berkenaan.
Berikutan itu Burhanuddin menasihatkan ibu bapa atau penjaga menggunakan kebijaksanaan mereka dengan memilih pusat jagaan berdaftar bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin.
“Semakan boleh dibuat oleh ibu bapa atau penjaga menerusi laman sesawang https://www.jkm.gov.my bagi menyemak senarai Taska atau pusat jagaan berdaftar.
“Malah kita meminta pengusaha Taska atau pusat jagaan belum berdaftar tampil segera bagi membolehkan premis mereka didaftarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Ends//
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.