
13,000 POKOK ‘HIJAUKAN’ KAWASAN TADAHAN AIR MELAKA
ASAHAN 19 November – Usaha memulihkan ekosistem kawasan tadahan air terus diperkasa apabila lebih 13,000 pokok hutan asli ditanam di Empangan Jus dan Durian Tunggal sejak tahun 2021 dalam inisiatif restorasi yang dijalankan Kerajaan Negeri bagi mengembalikan fungsi hutan semula jadi.
Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) Azizul Adzran Mahmor berkata, mengikut pecahan, lebih 8,700 pokok telah di tanam sejak tahun 2021 di Empangan Durian Tunggal manakala hampir 5,000 pokok lagi dalam proses penanaman, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 13,000 pokok.
Katanya, baki pokok-pokok itu akan ditanam menerusi Program Penanaman Pokok Hutan Restorasi Empangan Jus Fasa 2.
“Program ini turut melibatkan usaha menggantikan tanaman sawit yang sebelum ini dibenarkan di kawasan empangan. Ia memandangkan pokok sawit menggunakan air sangat tinggi iaitu kira-kira 50 gelen sehari bagi setiap pokok, memang sangat tidak sesuai.
“Jadi kawasan penanaman baki 5,000 pokok lagi kita akan tanam di kawasan sawit yang dibersihkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Penanaman Pokok Hutan Restorasi Empangan Jus Fasa 2 yang dirasmikan Pengawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh di Empangan Jus, di sini, hari ini.
Hadir sama, Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Khairul Azreem Mamat serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Azizul Adzran menegaskan, pihaknya tidak mengamalkan kaedah ‘tanam dan tinggal’, sebaliknya pokok-pokok yang ditanam dijaga oleh Sahabat Mesra Alam Rimba Terpelihara (SMART) dan Global Environment Centre (GEC).
“Pasukan SMART ini akan menjaga pokok-pokok yang ditanam bagi memastikan kadar hidup yang tinggi.
“Selain itu, penanaman pokok-pokok hutan juga di kawasan Durian Tunggal dan telah menunjukkan kesan positif apabila haiwan liar seperti burung, babi hutan dan kancil telah kembali ke habitat itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


