
WRUR MEDAN PERKASA AKAR UMBI BOLA SEPAK, BOLA JARING
LENDU 25 Mei – Satu sistem pendedahan seragam berhubung teknik latihan dan peraturan untuk bola sepak, bola jaring serta sepak takraw sedang dirangka, seterusnya dijadikan rujukan standard pada penganjuran klinik atau sebarang program akar umbi melibatkan ketiga-tiga sukan berkenaan selepas ini.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, pihaknya bercadang untuk memanfaatkan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sebagai medan menyemarakkan semangat kesukanan, berikutan itu satu sistem pendedahan standard mampu memberikan impak kepada peserta bagi setiap penganjuran perlu diwujudkan.
Katanya, pihaknya juga akan melihat kelemahan pelaksanaan buat kali pertama bersempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dan melakukan penambahbaikan agar sistem pendedahan seragam yang mantap dan memberi impak diwujudkan.
“Mungkin selepas satu atau dua lagi siri penganjuran WRUR kita akan mendapat sistem pendedahan seragam dan mengikut stabdard. Kita mahu melahirkan pemain yang bukan setakat ada bakat tetapi tahu mengenai sukan yang mereka minati.
“Menerusi program di WRUR DUN Lendu ini kita beri pendedahan secara teori dan praktikal bagi bola sepak dan bola jaring. Diharapkan program sehari ini bukan sahaja dapat mengasah bakat mereka sebaliknya lebih faham berhubung peraturan kedua-dua sukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Bola Sepak Piala Tok Leman serta Klinik Bola Sepak Dan Bola Jaring Bawah 18 berlangsung di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, di sini, hari ini.
Terdahulu perasmian program itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka, Mohd Asri Ninggal.
Shanmugam berkata, lebih menarik program berkenaan juga turut melibatkan pemain skuad Piala Presiden Melaka yang bersama-sama turun ke padang untuk berkongsi pengalaman bersama anak-anak DUN Lendu.
“Mungkin pada kebiasaan peserta melihat pemain Piala Presiden di skrin televisyen atau stadium, kali ini mereka berpeluang untuk berlatih bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.