
13,358 CALON DUDUKI SPM DI MELAKA
AYER MOLEK 25 November – Seramai 13,358 orang calon berdaftar bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Melaka mula menduduki peperiksaan bertulis di 100 pusat peperiksaan seluruh negeri, hari ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada jumlah itu, seramai seramai 11,371 calon merupakan pelajar dari 76 buah buah sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
Selain itu, katanya, seramai 1,066 calon persendirian dan 206 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah direkodkan.
Menurut Rahmad, bagi agensi pendidikan selain KPM seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Tunas Bakti dan Sekolah Henry Gurney, seramai 694 calon telah berdaftar, manakala 21 calon lagi daripada sekolah agama negeri.
“Setakat semalam terdapat empat orang calon SPM yang sedang dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui selepas hadir menyantuni calon SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Molek, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, bagi peperiksaan SPM 2025 juga terdapat seramai 83 orang calon yang telah didaftarkan sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBPK).
“Calon CBPK ini membabitkan kategori Kurang Penglihatan (rabun) seramai 10 orang, Kurang Pendengaran (pekak dan bisu) tiga orang dan seramai 70 orang adalah calon bagi kategori lain-lain kekurangan termasuk fizikal, autisme dan kecacatan pelbagai,” ujarnya.
Jelas beliau, sepanjang berlangsungnya SPM 2025 seramai 3,459 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua calon agar sentiasa merujuk kepada jadual peperiksaan dan membawa bersama dokumen pengenalan diri semasa hadir untuk menduduki peperiksaan ia bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


