
13,874 WARGA PENDIDIK PEMACU KEJAYAAN PENDIDIKAN MELAKA
AYER KEROH 25 November – Seramai 13,874 warga pendidik di Melaka diiktiraf sebagai tulang belakang kejayaan sistem pendidikan negeri yang terus menunjukkan peningkatan cemerlang saban tahun.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian pendidikan negeri yang terus mengekalkan momentum positif bukannya datang bergolek, namun hasil kebijaksanaan, ketekunan dan dedikasi para pendidik.
“Tahun 2024 menyaksikan prestasi akademik negeri melonjak cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sekali gus mengekalkan Melaka dalam kelompok negeri terbaik di negara ini.
“Segala kejayaan ini bukan hanya rekod dan angka, tetapi cerminan kepada impak besar reformasi pendidikan yang sedang digerakkan.
“Para pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi memacu perubahan, menerajui kreativiti dan membentuk generasi yang bersedia mencipta masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Tahun 2025 di sebuah hotel di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kejayaan 134 huffaz menghafaz 30 juzuk al-Quran dan lulus Peperiksaan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menyerlahkan kekuatan pendidikan agama dalam ekosistem pendidikan negeri.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga pendidik untuk terus mengangkat mutu pendidikan Melaka ke tahap lebih tinggi, gemilang dan disegani di persada antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


