
142 MURID TADIKA JAIM CEMERLANG DIRAIKAN
PENGKALAN BATU 17 Disember – Seramai 142 anak cilik Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) diraikan atas pencapaian cemerlang akademik dan sahsiah pada Majlis Apresiasi Ke-28 bagi sesi persekolahan 2025/2026 yang berlangsung di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, semalam.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, majlis itu bertujuan menghargai usaha dan dedikasi semua pihak termasuk guru dan ibu bapa yang terlibat dalam perkembangan serta pencapaian murid.
“Kerajaan Negeri amat menyokong program seumpama ini kerana ia bukan sekadar membina kesepaduan antara guru, pelajar dan ibu bapa.
“Malah, ia berfungsi sebagai platform untuk memberi inspirasi kepada anak-anak agar lebih bersemangat mengejar kecemerlangan sekali gus membantu merealisasikan pembangunan holistik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tadika JAIM Kali Ke-28 bagi sesi persekolahan 2025/2026 di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pendidikan tidak seharusnya terhad kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi perkembangan potensi diri, pembentukan sahsiah, kemahiran sosial serta penerapan nilai-nilai murni yang penting dalam membentuk individu yang seimbang dan berdaya saing.
Setakat ini, menurut beliau, kemasukan tadika JAIM terus mencatatkan angka yang tinggi dengan seramai 3,444 orang murid di 71 buah tadika di seluruh negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


