Sorting by

×

143 MURID DUN AYER MOLEK TERIMA BANTUAN PERSEKOLAHAN 2026

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER MOLEK 28 November – Seramai 143 murid sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek menerima bantuan persekolahan bernilai RM200 setiap seorang bagi persediaan memasuki sesi akademik pada Januari 2026.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, bantuan berbentuk baucar itu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM28,600 yang disalurkan menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

“Alhamdulillah kita selesai menyampaikan bantuan untuk anak-anak sekolah rendah bagi DUN Ayer Molek untuk mereka membeli pakaian dan keperluan persekolahan penggal baharu nanti.

“Bantuan ini khusus bagi membantu murid-murid kurang berkemampuan khususnya ibu bapa yang mempunyai anak ramai bagi membuat persediaan awal sesi persekolahan tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Sekolah Rendah Negeri Melaka Sesi Akademik 2026 di Japerun Ayer Molek, di sini, pada Rabu.

Pada majlis sama sembilan sekolah rendah dalam DUN Ayer Molek menerima sumbangan iaitu Sekolah Rendah Islam Ar Rahmah, SK Ayer Molek, SK Bendahara Seri Maharaja, SK Bukit Lintang, SK Paya Dalam, SK Paya Redan, SK Tambak Paya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tiang Dua dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Lintang.

Menurut Rahmad, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap keperluan pendidikan anak-anak Melaka dan berharap bantuan itu dimanfaatkan sepenuhnya sebelum sesi persekolahan bermula pada pertengahan Januari 2026.

“Nasihat saya gunakan kupon ini sebaik mungkin, ia boleh ditukar kepada pelbagai keperluan persekolahan seperti pakaian, beg, kasut serta alat tulis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

160
Kongsi :
Previous post WASPADA AMARAN HUJAN LEBAT, PANTAU PERGERAKAN ANAK