Sorting by

×

15 KLINIK KESIHATAN SEDIA VAKSIN INFLUENZA PERCUMA UNTUK WARGA EMAS

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Warga emas mengalami komorbid boleh mendapatkan suntikan vaksin influenza percuma menerusi Program Imunisasi Influenza Warga Emas di 15 klinik kesihatan (KK) seluruh Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, warga emas mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau kronik seperti diabetes, masalah jantung, penyakit berkaitan pernafasan serius atau tekanan darah tinggi amat disarankan untuk memanfaatkan peluang mendapatkan suntikan percuma disediakan kerajaan.

Katanya, pertengahan Februari lalu Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) menerima 2,000 vaksin influenza diikuti 1,400 lagi bekalan tambahan pada April.

“Warga emas yang layak diminta membuat janji temu dengan segera sebelum slot ditutup. Sebanyak 15 KK seluruh Melaka menyediakan slot janji temu iaitu KK Alor Gajah, KK Masjid Tanah, KK Pengkalan Balak, KK Kuala Sungai Baru, KK Jasin, KK Merlimau dan KK Umbai.

“Selain itu, KK Kemendor, KK Selandar, KK Simpang Bekoh, KK Sungai Rambai, KK Batang Melaka, KK Batu Berendam, KK Seri Tanjung dan KK Cheng turut menawarkan slot untuk vaksinasi itu,” katanya.

Menurut Hee Sem, warga emas yang ingin mengisi slot pemberian vaksin itu boleh membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

“Namun sekiranya tidak mempunyai akses kepada MySejahtera, mereka boleh hadir secara terus ke KK yang disenaraikan untuk pendaftaran dan suntikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1134
Kongsi :
Previous post JEJAK HANG TUAH, BUKA MINDA GURU MENGENAI SEJARAH, ASAL USUL PAHLAWAN MELAKA
Next post TIGA PELABUHAN BAHARU DILULUSKAN DI MELAKA