
150,000 DIJANGKA HADIR MERIAHKAN SAMBUTAN HARI TVET NEGARA 2025
AYER KEROH 12 Jun – Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang bermula semalam hingga esok dijangka mampu menarik kehadiran sekurang-kurangnya seramai 150,000 orang pengunjung.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, berkata setakat jam 8 malam hari pertama semalam, seramai 41,830 pengunjung direkodkan singgah ke sambutan itu.
Ahmad Zahid berkata, angka itu secara tidak langsung mencerminkan dan membuktikan peningkatan minat masyarakat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menjadi salah satu teras utama pembangunan modal insan negara.
“Saya amat berbesar hati dengan sambutan yang ditunjukkan pada hari pertama. Kita menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 150,000 pengunjung menjelang jam 8 malam esok (13 Jun).
“Malah saya yakin angka itu mampu dicapai dengan kerjasama semua pihak yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas Sesi ‘Walkabout’ Sambutan Hari TVET Negara 2025 di MITC, di sini, hari ini.
Pada sesi walkabout itu Ahmad Zahid diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Hari TVET Negara 2025 menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan TVET dan serta pemain industri seluruh negara dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama, membuka lebih banyak peluang kepada pelajar serta tenaga kerja muda.
Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti pameran teknologi, demonstrasi kemahiran, seminar kerjaya, sesi temu duga terbuka dan pertandingan kemahiran.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.