Sorting by

×

155,406 MURID, PELAJAR DI MELAKA TERIMA BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN RM150

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PANTAI KUNDOR 12 Januari – Seramai 155,406 murid dan pelajar di negeri ini bakal menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu membabitkan murid Tahun 1 hingga Tingkatan 6 membabitkan 319 buah sekolah di seluruh negeri.

Jelas beliau, ia membabitkan peruntukan berjumlah RM23.31 juta bagi bantuan tersebut di negeri ini.

“Bantuan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa dan memberi keyakinan kepada anak-anak untuk memulakan persekolahan.

“Ini juga adalah tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan pendidikan terus diperkukuh. Tiada seorang pun anak Melaka akan dibiarkan tercicir, khususnya dalam bidang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Lawatan Rasmi Hari Pertama Sesi Persekolahan dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri juga telah menzahirkan komitmen tinggi terhadap pendidikan dengan menjadikannya sebagai antara ‘pelaburan’ terbesar pada setiap tahun.

Jelas beliau, ia dibuktikan apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk pelbagai inisiatif dan program strategik dalam bidang pendidikan menerusi Bajet Negeri Melaka 2026.

“Inilah tekad Kerajaan Negeri berpaksikan ‘Melaka Sayang Rakyat..Demi Rakyat, Untuk Rakyat’ yang berpegang teguh pada prinsip bahawa tiada seorang pun anak Melaka yang akan dibiarkan tertinggal atau terpinggir, khususnya dalam pendidikan,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

499
Kongsi :
Previous post LEBIH 161,000 MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN 2026 DI MELAKA
Next post 118 SEKOLAH DI MELAKA DIIKTIRAF SEKOLAH INSPIRASI