
16 ANAK YATIM DUN DUYONG TERIMA SUMBANGAN PERSEDIAAN SEKOLAH
AYER KEROH 3 Januari – Seramai 16 anak yatim dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menerima bantuan persekolahan bagi persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu yang akan bermula pada minggu hadapan.
Bantuan tersebut disampaikan menerusi Program Santuni Kasih Anak Yatim yang memasuki tahun kedua penganjurannya dan berlangsung di sebuah pasar raya di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini bermula jam 9 pagi.
Menurut Pengerusi Lembaga Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah, Duyong, Mohd Dan Abu Samah, bantuan persekolahan itu merupakan hasil sumbangan jemaah yang dikumpulkan melalui tabungan khas anak-anak yatim.
“Program bersama anak-anak yatim ini adalah antara pengisian kasih hasil sumbangan jemaah yang dikumpulkan dalam tabungan khas anak-anak yatim, selain mereka turut diraikan pada bulan Ramadan dan 10 Muharram setiap tahun,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Menerusi program berkenaan, kesemua anak-anak yatim itu diberi peluang memilih sendiri pakaian seragam sekolah serta keperluan persekolahan mengikut keperluan masing-masing.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk pakaian seragam sekolah, kasut, beg, alat tulis, songkok serta sumbangan wang tunai.
Selain ahli jawatankuasa masjid, program tersebut turut disertai ibu serta ahli keluarga terdekat penerima, sekali gus mewujudkan suasana penuh kasih sayang dan kebersamaan sepanjang program berlangsung.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


