Sorting by

×

16,000 PETAK PARKIR PERCUMA DI KAWASAN MBMB SELAMA 7 HARI

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH 15 Mac – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyediakan hampir 16,000 petak parkir percuma selama tujuh hari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di seluruh kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif itu dilaksanakan susulan pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang memutuskan pemberian parkir percuma itu melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Melaka.

Menurutnya, pelaksanaan kemudahan tersebut di kawasan MBMB dianggarkan melibatkan implikasi kewangan hampir RM100,000 bagi tempoh tujuh hari berkenaan.

“Kita di peringkat MBMB menyambut baik seruan yang dimaklumkan oleh Ketua Menteri untuk memberi parkir percuma selama tujuh hari sempena Aidilfitri.

“MBMB telah mengambil tindakan proaktif dengan menyediakan petak parkir percuma di kawasan bandaraya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata pihaknya menjangkakan aliran trafik di sekitar Bandar Melaka akan menjadi lebih sesak terutama pada hujung minggu dan musim cuti Aidilfitri berikutan peningkatan jumlah pelancong serta pengunjung ke negeri ini.

“MBMB telah mengatur gerak kerja bagi memastikan kelancaran trafik di kawasan bandaraya sepanjang tempoh tersebut.

“Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan agar meletakkan kenderaan di tempat parkir yang disediakan terutama ketika mengunjungi kawasan pelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post TANJUNG BIDARA LOKASI SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA 2026
Next post ‘SEKAMPUNG’ PANTAI KUNDOR SEMARAK MAKANAN TRADISI