Sorting by

×

162 INISIATIF JADI ASAS MELAKA BINA GENERASI BERAKHLAK DI SEKOLAH

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 13 Disember – Sebanyak 162 inisiatif telah digariskan pada Konvensyen Khas Pendidikan Negeri Melaka menerusi sesi bengkel melibatkan pelbagai agensi, jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, daripada dapatan itu sebanyak 55 isu turut digariskan dan 10 resolusi dipersetujui untuk diangkat ke peringkat Kementerian Pendidikan serta diberi perhatian di peringkat kabinet.

Menurutnya, konvensyen itu dianjurkan atas inisiatif Kerajaan Negeri yang memandang serius peningkatan isu salah laku, gejala sosial dan jenayah melibatkan pelajar.

“Isu berkenaan termasuk kes buli, seksual serta pelbagai bentuk salah laku lain yang dilihat semakin membimbangkan bukan sahaja di Negeri Melaka, malah di seluruh Malaysia.

“Antara resolusi yang dianggap luar biasa pada konvensyen ini adalah cadangan supaya hukuman rotan digunakan semula di sekolah dengan kebenaran ibu bapa, selain menarik keistimewaan tertentu terhadap murid atau pelajar yang kerap ponteng sekolah atau mempunyai masalah disiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Konvensyen Khas Kerajaan Negeri Bersama PIBG Sekolah, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan Negeri Melaka Tahun 2025 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta kenamaan lain.

Rahmad berkata, seramai 34 agensi, jabatan dan NGO telah dijemput sebagai pemikir dalam bengkel yang dibahagikan kepada 10 kluster, antaranya kluster salah laku, kluster seksual serta beberapa kluster lain berkaitan permasalahan pelajar.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan jumlah yang besar bagi memastikan konvensyen ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post PELAN DISIPLIN ANAK MELAKA AKAN DIWUJUDKAN – KM
Next post USAHA TRANSFORMASI PENDIDIKAN MELAKA SUATU PELABURAN MENGUNTUNGKAN