Sorting by

×

18 LOJI WTE DIRANCANG DIBINA MENJELANG 2040

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat
SUNGAI UDANG 2 April – Pendekatan inovatif seperti teknologi Waste-to-Energy (WtE) amat bermanfaat sebagai pemacu utama dalam merealisasikan agenda Sifar Sisa.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, seiring dengan peningkatan jumlah sisa pepejal saban tahun, negara tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah pelupusan konvensional semata-mata, sebaliknya perlu beralih kepada pendekatan lebih menyeluruh dan berteraskan ekonomi kitaran.
“Sebagaimana kita sedia maklum, konflik yang tercetus antara Amerika Syarikat dan Iran telah menyebabkan gangguan serius di  Selat Hormuz, iaitu nadi utama penghantaran tenaga dunia. Selat ini mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas global, maka sebarang ketidakstabilan di sana mencetuskan kesan  rantaian yang amat besar terhadap pasaran tenaga antarabangsa.
“Negara-negara Asia, termasuk Malaysia, tidak terkecuali daripada menerima impak ini. Gangguan logistik dan lonjakan harga minyak mentah secara global secara tidak langsung memberi tekanan kepada bekalan tenaga global.
“Dalam bab ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) telah merancang pembinaan sebanyak 18 buah loji WtE di seluruh negara, yang dijangka berupaya menjana sehingga 600 megawatt tenaga boleh baharu menjelang tahun 2040,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Loji WtE Sungai Udang di tapak WtE Sungai Udang, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Dato’ Ir. Ts. Gs. Dr. Mohd Azhar Abd Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Corporation Berhad Syahrunizam Samsudin, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.
Menurutnya, langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban tapak pelupusan, malah menyumbang kepada penjanaan tenaga boleh baharu serta pengurangan pelepasan karbon secara signifikan.
Tambah beliau, ia turut menyokong sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) iaitu 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.
“Perancangan menyeluruh bagi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) turut menekankan pembangunan infrastruktur yang lebih mampan dan berdaya tahan. Dalam tempoh ini, JPSPN telah merangka pelaksanaan sebanyak 38 projek utama merangkumi projek naik taraf tapak pelupusan dan loji rawatan air larut resap, projek penutupan selamat tapak pelupusan, projek pembinaan stesen pemindahan serta perolehan tanah baharu.
“Keseluruhan inisiatif ini melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM1.34 bilion dan mencerminkan kesungguhan Kerajaan dalam memastikan sistem pengurusan sisa pepejal negara terus diperkasa secara holistik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post TEKNOLOGI WTE ATASI CABARAN KAPASITI TAPAK PELUPUSAN
Next post LEBIH 21,000 RUMAH MAMPU MILIK SUDAH DIBINA DI MELAKA