Sorting by

×

183 ANAK YATIM DIRAI SEMPENA 10 MUHARAM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

ALOR GAJAH 6 Julai – Seramai 183 anak yatim bawah usia 12 tahun diraikan dalam Majlis Menyantuni Anak-Anak Yatim Parlimen Alor Gajah sempena 10 Muharam 1447H di Masjid Khalid Al-Walid, Kampung Ayer Pasir, Machap Jaya, di sini, hari ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata program tahunan itu bertujuan untuk menyemai rasa keinsafan dalam kalangan pemimpin masyarakat selain menyuburkan lagi sikap cakna serta rasa tanggungjawab membantu anak-anak kurang bernasib baik.

“Program ini bukan sahaja bertujuan memberi sokongan moral dan emosi kepada anak-anak yatim, malah membantu meringankan beban keluarga mereka. Program ini bukan pertama kali dianjurkan, tetapi kesinambungan daripada apa sudah dilaksanakan sebelum ini.

“Tanggungjawab membantu mereka bukan hanya atas dasar kebajikan, tetapi satu amanah yang sangat penting,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada majlis itu.

Fairul Nizam yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah berkata, peserta yang diraikan melibatkan anak yatim dari beberapa kampung sekitar Parlimen Alor Gajah.

“Fokus tahun ini adalah anak yatim bawah 12 tahun kerana pada lingkungan usia ini, mereka sangat memerlukan sokongan moral dan bantuan terutamanya dalam aspek akademik.

“Selain sumbangan wang tunai, kita turut menyampaikan barangan keperluan dan ‘goodies’ hasil sumbangan syarikat korporat termasuk Mamee dan Julie’s, selain penyertaan pelbagai agensi kerajaan, swasta serta individu persendirian.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang menyumbang. Diharap bantuan ini dapat memberikan sedikit kegembiraan dan semangat buat anak-anak ini untuk terus kuat melangkah ke depan,” katanya.

Program tersebut turut dihadiri kepimpinan UMNO setempat serta wakil masyarakat sekitar Machap Jaya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post SANGGAR BATIN SEMBILAN UNGGULI ZAPIN RENTAK BERTANDAK ANTARABANGSA 2025
Next post POLIS TAHAN TIGA LELAKI JUAL MC PALSU DI SUNGAI PETANI