Sorting by

×

20 LOKASI BERISIKO TERJEJAS FENOMENA AIR PASANG BESAR, PENDUDUK DINASIHAT BERWASPADA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 1 Disember – Sebanyak 20 lokasi di Melaka berisiko terjejas akibat fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dari 1 hingga 9 Disember ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, susulan itu semua agensi dan jabatan berkaitan sudah diarahkan supaya melakukan persiapan bagi menghadapi sebarang bentuk bencana akibat fenomena itu.

Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu diberikan perhatian susulan risiko limpahan air laut menyebabkan banjir, khususnya pesisir pantai Melaka dari Umbai hingga Kuala Linggi.

“Semua agensi telah diarahkan agar bersedia untuk dikerahkan pada bila-bila masa bagi membantu penduduk sekiranya situasi memerlukan.

“Antara kawasan berpotensi mengalami limpahan air membabitkan Pengkalan Rama Pantai, Banda Kaba, Pantai Klebang, Pantai Puteri, Pantai Kundor, Kampung Lereh, Kampung Sebatu, Kampung Pulai, Kampung Umbai, Kampung Pantai Siring, Alai Perdana, Parit China, kampung Padang Temu dan Kampung Permatang Pasir.

“Turut berisiko babit Kampung Tanjung Bidara, Kampung Padang Kemunting, Kampung Pengkalan Balak, Kampung Telok Gong, Kampung Tanjung Dahan dan Kampung Kuala Linggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka 2025 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Mufti Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil

Turut hadir, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Mohd Amran Mat Zai dan Ketua Hakim Syarie Melaka Azzeman Omar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, tahap kesiapsiagaan awal perlu dipertingkatkan memandangkan perubahan cuaca dan keadaan laut dijangka memberi kesan kepada beberapa kawasan rendah.

“Kepada semua rakyat Melaka dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan melakukan persediaan awal bagi menghadapi fenomena air pasang besar.

“Saya nasihatkan orang ramai agar mengikuti perkembangan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga sepanjang tempoh fenomena air pasang tinggi ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

125
Kongsi :
Previous post AGENSI AGAMA MELAKA SEDIA KEKANG KEGIATAN TIDAK BERMORAL
Next post MELAKA PERKUKUH SISTEM KEHAKIMAN SYARIAH MELALUI CADANGAN RUU BAHARU