Sorting by

×

20 MANGSA DIPINDAHKAN KE PPS, TIGA SUNGAI BERADA PADA PARAS BAHAYA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 28 November – Tiga sungai di negeri ini mencatatkan bacaan paras bahaya setakat jam 3 petang tadi susulan taburan hujan berterusan berintensiti tinggi.

Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Datuk Wira Azhar Arshad berkata, bacaan paras bahaya dicatatkan di Sungai Melaka di Cheng, Sungai Melaka di Melaka Pindah dan Sungai Durian Tunggal di Batu 11 Air Resam.

Azhar berkata, berdasarkan laporan stesen aras sungai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, beberapa lagi sungai di negeri ini berada pada paras amaran.

Katanya, hujan lebat berterusan turut menjejaskan beberapa lokasi di dua daerah iaitu Alor Gajah dan Melaka Tengah.

“Bagi daerah Alor Gajah sebanyak lapan kawasan dilaporkan terjejas susulan hujan berterusan iaitu Rembia, Ayer Limau, Lendu, Kuala Linggi, Durian Tunggal, Tanjung Bidara, Taboh Naning dan Gadek.

“Sementara itu kawasan terjejas di daerah Melaka Tengah pula membabitkan Kampung Bukit Berlian, Padang Siapong, Kampung Krubong, Kampung Ladang dan Kampung Tampoi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Masjid Tanah, Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang, Dewan Japerun Ayer Limau dan SK Ayer Jernih.

“Proses pendaftaran mangsa banjir sedang dijalankan, setakat jam 4 petang tadi empat keluarga membabitkan 20 mangsa direkodkan ditempatkan di PPS.

“Susulan cuaca tidak menentu juga dua laluan iaitu Jalan Masjid Tanah-Brisu dan Jalan Melaka-Lubok China ditutup kerana mengalami halangan akibat limpahan air,” katanya.

Jelasnya, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Alor Gajah juga telah diaktifkan dan pemantauan rapi dijalankan bersama agensi teknikal berkaitan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1086
Kongsi :
Previous post JPS DIMINTA SEGERA LAKSANA PELAN KONTINGENSI KURANGKAN RISIKO BANJIR
Next post RIBUT TROPIKA SENYAR MELEMAH NAMUN POTENSI HUJAN LEBAT, ANGIN KENCANG KEKAL – METMALAYSIA