
2,000 ORANG DIJANGKA MERIAHKAN MAJLIS BERBUKA PUASA, KACAU DODOL
BANDA HILIR 18 Februari – Kira-kira 2,000 orang termasuk pengunjung dan pelancong dijangka membanjiri perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan sempena majlis berbuka puasa pada 14 Mac depan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, majlis anjuran Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) merupakan program tahunan diadakan sempena Ramadan.
“Sempena majlis berbuka puasa itu selain penduduk setempat kita turut menjemput pengunjung dan pelancong yang ada di Melaka pada minggu terakhir Ramadan untuk sama-sama memeriahkan acara diadakan itu.
“Pelbagai juadah termasuk minuman akan disediakan oleh BPP dan MBMB untuk dijamu kepada pengunjung yang hadir untuk sama-sama berbuka puasa,” katanya.
Abdul Razak berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan persembahan tarian singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan mengagihkan limau kepada pengunjung di perkarangan Menara Taming Sari, semalam
Turut hadir, Pengurus Besar Tourism Melaka Nasrul Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan.
Abdul Razak berkata, turut berlangsung pada hari tersebut adalah program kacau dodol yang akan bermula pada sebelah petang.
“Jika tahun lepas kita sediakan hanya 30 kawah tetapi pada tahun ini ditambah kepada 50 kawah berikutan sambutan cukup menggalakkan.
“Untuk kacau dodol ini ia akan membabitkan setiap agensi dibawah portfolio pelancongan antaranya Menara Taming Sari, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Zoo Melaka selain badan bukan kerajaan (NGO) pelancongan,” katanya.
Jelasnya, diadakan itu bukan sahaja bertujuan mengimarahkan Ramadan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, masyarakat setempat dan pelancong yang berkunjung ke Melaka.
“Justeru itu kita mengalu-alukan orang ramai dan pelancong yang berada di Melaka untuk hadir bagi sama-sama memeriahkan suasana serta merasai kuih tradisional yang disediakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


