
2,000 PELAJAR ASNAF PARLIMEN TANGGA BATU TERIMA BANTUAN SEKOLAH
SUNGAI UDANG 16 Disember – Lebih 2,000 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf di Parlimen Tangga Batu menerima bantuan persekolahan yang disalurkan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, bantuan yang disalurkan itu menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan anak-anak khususnya aspek pendidikan.
“Untuk peringkat Parlimen Tangga Batu bagi kesemua empat Dewan Undangan Negeri (DUN) keseluruhan peruntukan untuk sumbangan bantuan persekolahan ini membabitkan jumlah kira-kira RM710,850 merangkumi 2,031 penerima.
“Saya dimaklumkan oleh MAIM, Parlimen Tangga Batu merupakan penerima bantuan paling ramai dan di DUN Paya Rumput sahaja jumlah peruntukan bernilai RM252,000 membabitkan 751 penerima.
“Saban tahun memang akan ada pertambahan terutamanya di kawasan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Persiapan Persekolahan Kepada Anak-Anak Asnaf, Fakir, Miskin Dan Mualaf MAIM Bagi Tahun 2026M/1447H Parlimen Tangga Batu Anjuran MAIM, di Japerun Sungai Udang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput dan Penyelaras DUN Sungai Udang berkata, bantuan persekolahan yang disalurkan itu amat membantu golongan asnaf dalam membuat persiapan untuk anak-anak bagi memulakan sesi persekolahan 2026.
“Terima kasih kepada MAIM kerana menyelaraskan program yang saban tahun dilaksanakan ini. Menerusi bantuan sumbangan ini setiap pelajar menerima kelengkapan sekolah bernilai RM350 seorang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

