Sorting by

×

2025 MELAKA TIDAK PERNAH SUNYI, GAMIT LEBIH 15 JUTA PELANCONG

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

KLEBANG 31 Disember – Melaka berjaya membuktikan negeri pelancongan ini tidak pernah sunyi daripada catatan kejayaan sepanjang 365 hari tahun 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, imbauan sejarah jelas menunjukkan Melaka bukan sekadar negeri warisan, tetapi sebuah negeri yang dinamik dan kompetitif.

Jelas beliau, kejayaan itu diterjemah dengan data kehadiran lebih 15 juta pelancong yang direkodkan ke negeri ini sejak Januari sehingga 31 Disember.

Bukan itu sahaja, malah Ketua Menteri memaklumkan, kebanjiran pelancong itu membawa sumbangan sebanyak RM14 bilion kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

“Inilah yang dinamakan ‘Ekonomi Rakyat’, di mana limpahan rezeki ini mengalir terus ke poket-poket peniaga, pengusaha hotel, pemandu teksi dan semua pihak di seluruh pelosok negeri yang sama-sama menikmati rezeki kehadiran pengunjung dan pelancong.

“Apapun, saya amat bersyukur kerana saya yakin pencapaian ini diiringi dengan berkat doa rakyat Melaka sehingga diberi kepercayaan penuh bukan sahaja mengemudi acara
berimpak tinggi, tetapi acara bertaraf dunia dan kebangsaan yang memilih Melaka sebagai destinasi utama penganjuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, di sini, malam ini.

Majlis penuh warna-warni itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, antara acara bertaraf dunia dan kebangsaan yang diadakan di Melaka adalah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-19 (AMMTC); Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS ke-49 serta Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) ke-21.

Selain itu, ujar beliau, negeri ini turut dipilih tuan rumah Malaysia Techlympic 2025 Peringkat Kebangsaan yang disertai oleh lebih 1.8 juta peserta dari seluruh negara serta Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2025.

“Kemuncaknya, pada September lalu Melaka berdiri megah di persada global sebagai tuan rumah sempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025, sekali gus meluncurkan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Pemilihan ini bukan soal giliran semata-mata, bahkan satu pengiktirafan tertinggi
daripada 159 buah negara!

“Ini membuktikan Melaka sebuah destinasi yang diyakini mempunyai keupayaan menyeluruh daripada kepimpinan dan tadbir urus, pembangunan terancang, prasarana dan keselamatan, sehinggalah hospitaliti serta kekuatan identiti dan naratifnya di mata dunia,” kata beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

253
Kongsi :
Previous post SITI NURHALIZA, FAN BINGBING TERIMA ANUGERAH IKON MELAKA
Next post TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0 BAKAL CETUS GELOMBANG BAHARU