
2026 JADI TAHUN PELAKSANAAN MELAKA
AYER KEROH 19 Januari – Tahun 2026 menjadi titik penting perjalanan Negeri Melaka yang sedang bergerak ke fasa pelaksanaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Menurut beliau, fasa itu penting kerana ia bakal menjadi kayu pengukur kepada keberhasilan Kerajaan Negeri dalam amanah rakyat.
Berpaksikan mandat itu, jelas Ketua Menteri, ‘Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi’ telah diangkar sebagai tema perkhidmatan awam negeri pada tahun ini.
“Tema ini dipilih sebagai teras amanat dan panduan gerak kerja Perkhidmatan Awam Negeri yang digerakkan melalui lima teras utama di bawah akronim M.E.S.R.A. yang saya ilhamkan sebagai cerminan tekad Melaka, Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, di bawah M.E.S.R.A. teras pertama yang digariskan adalah ‘Mendengar Dengan Empati’, di mana suara rakyat perlu dan mesti menjadi kompas utama dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat oleh penjawat awam.
Teras kedua pula, ujar beliau, ‘Efisien Dalam Tindakan’ dengan setiap dasar dan inisiatif yang telah digariskan mesti diterjemahkan kepada tindakan nyata yang cepat, tepat dan berimpak tinggi.
“S pula melambangkan ‘Solutif, Bukan Defensif’ iaitu saya mahu setiap isu yang sampai ke meja mesti disambut dengan penyelesaian. Budaya kerja bersifat defensif, saling menyalahkan atau berpaut kepada cara lama tidak lagi relevan dalam landskap pentadbiran hari ini.
“Sementara itu, R pula ialah ‘Responsif Terhadap Keperluan Rakyat’ dengan sasaran setiap permasalahan di kampung-kampung, taman-taman perumahan serta kawasan bandar diselesaikan secara tuntas dalam tahun 2026.
“Terakhir adalah ‘Amanah Dalam Setiap Tindakan’ yang memberi penegasan bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap pelanggaran integriti, penyalahgunaan kuasa atau salah laku dalam apa jua bentuk,” ujar beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


