
21 LOKASI LUAR BANDAR MELAKA NIKMATI RANGKAIAN TELEKOMUNIKASI LEBIH BAIK 2026
ASAHAN 31 Disember – Sebanyak 21 lokasi strategik di pelbagai kawasan luar bandar sekitar negeri ini telah disenaraikan untuk pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur 4G pada tahun 2026.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pelaksanaan pembangunan dan penambahbaikan itu dijangka menyokong ekosistem pendigitalan ekonomi, pendidikan dan keusahawanan.
Katanya, ia juga bakal melancarkan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara dalam talian selari dengan pengiktirafan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga.
“Kerajaan Negeri menerusi Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MITCH) terus komited memperkasakan agenda pendigitalan menerusi pembangunan infrastruktur telekomunikasi.
“Usaha ini selaras dengan Bajet Negeri Melaka Tahun 2026 Negeri Melaka bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ bagi memastikan akses internet yang berkualiti, inklusif dan mampan.
“21 kawasan strategik yang telibat membabitkan Kampung Chenderah; Kampung Seri Kesang; Pekan Asahan; Kampung Pondok Batang; Kampung Air Repat; Kampung Baru Tanah Pinggir Meriang; Kampung Jus Permai; Kampung Tersusun Datuk Mohd Hidhir; Taman Panglima Pak; Kampung Batu Gajah; Kampung Permatang Tulang dan Taman Bemban Heights.
“Selain itu, ia turut membabitkan Hospital Jasin; Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia (UTeM); Kampung Beringin / Parit Melana; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah; Kampung Paya Lebar; Kampung Kuala Linggi; Universiti Islam Antarabangsa Melaka (UNIMEL); Jalan Lesung Batu dan Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata projek itu dilaksanakan susulan keperluan yang telah dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta perancangan daripada penyelia perkidmatan (Telco).
“Fokus utama inisiatif ini adalah untuk menutup jurang digital dan memperluas liputan rangkaian 4G khususnya di kawasan luar bandar, institusi pendidikan dan hab pelancongan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


