Sorting by

×

25,000 PENGUNJUNG MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DUN PAYA RUMPUT

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PAYA RUMPUT 22 Mac – Kira-kira 25,000 pengunjung memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, seperti tahun lalu, DUN Paya Rumput sekali lagi menjadi lokasi pembuka tirai rumah terbuka Aidilfitri dan menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Katanya, majlis yang bermula jam 10.30 pagi hingga 4.30 petang itu turut menawarkan pelbagai jenis juadah hari raya buat pengunjung.

“Alhamdulillah, DUN Paya Rumput sekali lagi menjadi pembuka tirai Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka pada tahun ini.

“Lebih menarik lagi, makanan yang kita sediakan sudah beberapa kali di ‘top up’ dan 1,000 kilogram (kg) daging yang kita masak juga sepertinya tidak cukup, kita akan tambah dan masak lagi khusus buat pengunjung yang dijangka semakin bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Paya Rumput di Perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini hari ini.

Majlis itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Isterinya Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abd Aziz.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Mengulas lanjut, Rais berkata konsep rumah terbuka itu mengangkat tradisi menyatukan masyarakat berbilang bangsa dan kaum tanpa mengira latar belakang.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan ini menunjukkan tradisi rumah terbuka terus menjadi platform menyatukan masyarakat,” katanya.

Majlis tersebut turut diwarnai dengan penampilan khas Tomok dan Kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang memeriahkan pengunjung pada majlis tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post KONTRAKTOR RUGI LEBIH RM300,000 DIPERDAYA SKIM PELABURAN TIDAK WUJUD
Next post CUACA PANAS: ELAK PEMBAKARAN TERBUKA