
26,711 PREMIS SUDAH TERIMA PELEKAT KAMPUNG DIGITAL
DUYONG 14 Julai – Inisiatif Kampung Digital yang dilaksanakan setakat ini sudah melibatkan sebanyak 26,711 premis di 187 kampung seluruh Negeri Melaka.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 618 kampung yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri kini sedang mengkaji mekanisme penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan penduduk mematuhi keperluan pertukaran alamat selaras dengan dasar baharu Kerajaan Negeri.
“Kita ada mencadangkan supaya Kerajaan Negeri bersama Penasihat Undang-Undang Negeri, untuk mencari kaedah bagi memastikan penduduk di Kampung Digital ini menukar alamat seperti yang diminta.
“Kerisauan saya adalah, jika tidak berbuat demikian ia akan mengganggu urusan rasmi, jadi keperluan mengemaskini dengan membuat pertukaran alamat amat penting,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Taklimat Penyerahan Pelekat Inisiatif Kampung Digital bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, bersempena Program WRUR DUN Duyong di Kampung Simpang Semabok, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Nasrul Ahmad.
Fairul Nizam berkata, Kerajaan Negeri sedang meneliti pendekatan yang sesuai bagi melaksanakan penguatkuasaan berkenaan secara berhemah dan mampu mendidik masyarakat.
“Alhamdulillah setakat ini penerimaan penduduk terhadap pelaksanaan inisiatif Kampung Digital sangat baik meskipun terdapat kekeliruan pada peringkat awal.
“Kalau ada kekeliruan, itu mungkin kerana mereka (penduduk) kurang faham. Tetapi apabila pejabat daerah, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pegawai Japerun turun padang memberikan penerangan, ia membantu memberikan pencerahan kepada penduduk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.