Sorting by

×

27-29 SEPTEMBER 2025, MELAKA BAKAL JADI TUMPUAN DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDA HILIR 6 Julai – Tanggal 27 hingga 29 September depan bakal melakar satu lagi sejarah baharu buat Negeri Melaka apabila bakal menjadi tumpuan dunia sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka telah menunjukkan kesediaan sebagai tuan rumah acara pelancongan dunia selepas pra-peluncurannya disempurnakan penuh gilang-gemilang, malam tadi.

Jelas Ketua Menteri, selain mempromosikan WTD dan WTC 2025, majlis itu juga diadakan bertujuan untuk menjemput seluruh dunia datang ke Melaka apabila kad jemputan acara tersebut telah disampaikan kepada duta dan pesuruhjaya tinggi asing ke Malaysia.

“Jadi kita dapat lihat acara ini dimeriahkan dengan lautan manusia yang hadir, maka saya yakin pada 27 hingga 29 September nanti kita akan dapat melihat lebih ramai tetamu dalam dan luar negara datang ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pra-Peluncuran WTD 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO di perkarangan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Majlis itu telah disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dan duta dan pesuruhjaya tinggi ke Malaysia; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain dif kehormat.

Menurut Ab Rauf, WTD dan WTC 2025 bakal menjadi satu lagi katalis baharu pemangkin sektor pelancongan negeri dan berupaya merealisasikan sasaran lebih 15 juta pelancong dan pengunjung ke negeri ini.

Katanya, kepelbagaian yang ada di Melaka, selain terkenal sebagai kota pelancongan dan bandar warisan dunia UNESCO dapat memberi satu lagi nilai tambah kepada ekonomi negeri dan rakyat.

“Jadi, kita akan lihat hasilnya hujung tahun nanti dan saya percaya limpahan acara ini akan memberi tempias kepada seluruh ekosistem negeri termasuklah pengusaha hotel dan inap desa, peniaga makanan dan lain-lain lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1518
Kongsi :
Previous post MALAYSIA DIIKTIRAF LIMA DESTINASI PALING MESRA MUSLIM