
2,885 WARGA EMAS DI MELAKA TERIMA VAKSIN INFLUENZA
AYER KEROH 6 Jun – Seramai 2,885 warga emas di Melaka telah menerima suntikan vaksin influenza di seluruh klinik kesihatan (KK) di Melaka setakat Mei.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pertengahan Februari lalu Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) menerima 2,000 vaksin influenza diikuti 1,400 lagi bekalan tambahan pada April.
Katanya, warga emas mengalami komorbid amag digalakkan bagi mendapatkan suntikan vaksin influenza percuma menerusi Program Imunisasi Influenza Warga Emas di 15 KK yang terpilih.
“Sehingga kini seramai 2,885 warga emas di seluruh Melaka direkodkan sudah tampil dan mendapat suntikan vaksin influenza percuma ini sejak Februari hingga Mei.
“Setakat ini masih terdapat 515 slot janji temu untuk warga emas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit komorbid atau penyakit kronik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Hee Sem, pemberian vaksin influenza adalah untuk mencegah jangkitan dan komplikasi serius selain mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dalam kalangan warga emas.
“Warga emas yang menepati kriteria boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma dengan membuat janji temu menerusi aplikasi MySejahtera atau boleh hadir secara terus ke KK yang disenaraikan untuk pendaftaran dan suntikan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.