
3 BAZAR AIDILFITRI MELAKA TERIMA KEHADIRAN PENGUNJUNG LUAR BIASA – KM
KLEBANG 16 Mac – Tiga bazar Aidilfitri utama di negeri ini menerima kehadiran pengunjung yang ramai dan melebihi jangkaan sepanjang Ramadan tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan Melaka terus menjadi destinasi pilihan orang ramai untuk membeli-belah menjelang Aidilfitri.
Katanya, tiga bazar Aidilfitri utama terbabit melibatkan di bazar Aidilfitri MITC, Ayer Keroh; Bazaraya Ikonik Banda Hilir dan Glam Bazar Klebang.
“Antara yang menjadi tumpuan ialah bazar Aidilfitri Klebang yang merekodkan lebih 250,000 pengunjung setakat malam tadi.
“Kehadiran yang ramai ini bukan sahaja melibatkan rakyat tempatan malah turut menarik pengunjung dari luar negeri Melaka.
“Saya menerima respon yang positif daripada pengunjung yang mana rata-rata ada yang datang dari Johor, Kedah dan beberapa negeri lain kerana mereka mengatakan Melaka ini lengkap dan menjadi destinasi membeli-belah sepanjang Ramadan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Glam Bazar Aidilfitri Klebang 2026, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong.
Terdahulu, Ab Rauf turut menyempurnakan cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta dan motosikal kepada pengunjung bertuah Glam Bazar Klebang.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, meskipun berlaku kesesakan di beberapa lokasi bazar pada penghujung Ramadan, namun ia masih terkawal dan secara tidak langsung menujukkan sambutan orang ramai amat menggalakkan.
“Walaupun jalan raya sesak, situasi ini sebenarnya memberi peluang yang baik kepada para peniaga untuk meningkatkan lagi jualan terutama pada hari-hari terakhir sebelum Aidilfitri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


