
3 SEKOLAH AGAMA DI JASIN TERIMA SUMBANGAN KOMPUTER
AYER KEROH 30 Oktober – Tiga buah sekolah agama di daerah Jasin menerima sumbangan komputer bagi kegunaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Sumbangan itu disampaikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Tabung Amal Jariah Negeri Melaka (TAJM).
Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Kampung Jus, SRA JAIM Chinchin dan SRA JAIM Kesang Tua.
MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menghargai sumbangan dan kepercayaan diberi TAJM kepada MAIM untuk menjayakan usaha murni tersebut.
“Sumbangan ini merupakan hasil dana kutipan TAJM telah diurus sepenuhnya oleh MAIM demi maslahat umat Islam di negeri ini.
“Ia sedikit sebanyak membantu memudahkan pihak guru melaksanakan gerak kerja pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
“Orang ramai yang ingin turut serta menyumbang kepada tabung berkenaan boleh menghubungi MAIM di talian 06-2837416 atau mengimbas kod QR yang disediakan,” katanya.

Menurut MAIM, pemberian komputer tersebut diharap dapat membantu memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran para guru di sekolah-sekolah terbabit serta meningkatkan kecekapan pelaksanaan tugasan harian.
Terdahulu, pemberian sumbangan itu diwakili Penolong Setiausaha Bahagian Wakaf dan Mal MAIM, Norazmi Hussin.
Usai menyampaikan sumbangan, Norazmi turut berkesempatan meluangkan masa menyantuni para guru dan pelajar di sekolah berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


