Sorting by

×

300 DELEGASI WTD 2025 DIBAWA NAIK MENARA TAMING SARI

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 21 September – Seramai kira-kira 300 delegasi seluruh dunia akan dibawa menikmati tarikan Menara Taming Sari sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 pada 29 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad, Nur Azan Hassan berkata, ia merupakan sebahagian pengisian dan peranan yang dimainkan pihaknya dalam menyambut tetamu dari seluruh dunia sempena acara pelancongan dunia itu.

Menurut beliau, pihaknya telah melakukan persiapan rapi bagi menyambut delegasi berkenaan dengan menjanjikan pengalaman menarik menikmati keindahan panorama Bandaraya Melaka dari atas menara ikonik berputar 360 darjah itu.

Tambah Nur Azan, pihaknya juga sedia memberi layanan dan servis terbaik sepanjang penganjuran WTD berlangsung yang disifatkan acara pelancongan ‘mega’ pada tahun ini.

“Kita difahamkan seramai hampir 300 delegasi akan mengadakan lawatan teknikal mereka ke sini, jadi sudah tentu kita telah melakukan persiapan rapi untuk menyambut mereka.

“Antara persiapan yang dilakukan adalah dari segi prasarana malah dari awal lagi kita sudah mengecat baru bangunan termasuk menambah baik kerja-kerja landskap di sini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Nur Azan, selain layanan terbaik, pihaknya turut memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dengan memastikan penyelenggaraan dilakukan secara berkala, selain aspek teknikal lain turut dipantau dari pagi hingga malam.

Malah, beliau memaklumkan, satu latihan simulasi kecemasan Menara Taming Sari turut diadakan baru-baru ini dalam mempertingkat aspek keselamatan dan pengurusan kes kecemasan membabitkan warga kerjanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, sepanjang WTD 2025 pada 27 hingga 29 September ini, Menara Taming Sari akan dibuka seperti biasa dari pagi sehingga malam, selain turut bersedia untuk menerima bilangan pengunjung yang lebih tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post WTD 2025 BAKAL LONJAK NAMA MELAKA, BERI TEMPIAS KEPADA RAKYAT
Next post MELAKA JADIKAN SAMBUTAN WTD 2025 MERIAH LAIN MACAM