Sorting by

×

319 SEKOLAH DI MELAKA MILIKI KEMUDAHAN LENGKAP, MESRA OKU

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Kerajaan Negeri komited memastikan semua sekolah di Melaka dilengkapi segala kemudahan diperlukan termasuk fasiliti bagi murid atau pelajar orang kurang upaya (OKU).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini terdapat sebanyak 239 sekolah rendah dan 80 sekolah menengah menyediakan kemudahan pendidikan seluruh Melaka.

Menurutnya, sebanyak 136 buah sekolah terletak di daerah Melaka Tengah melibatkan 41 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 95 Sekolah Kebangsaan (SK) diikuti 85 sekolah di daerah Jasin (18 SMK, 67 SK) serta 98 sekolah di daerah Alor Gajah (21 SMK, 77 SK ).

“Semua sekolah di Melaka telah dilengkapi dengan kemudahan asas lengkap seperti bilik darjah, kantin, tandas, padang, gelanggang permainan termasuk makmal dan bengkel bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar serta selesa.

“Selain itu Kerajaan Negeri turut memberi perhatian khusus kepada keperluan murid berkeperluan khas dengan penyediaan kemudahan mesra OKU di 113 SK dan 40 SMK termasuk tandas OKU, parkir khas, susur tangan serta susur lantai.

“Sebagai contoh, sebuah lif turut disediakan di bangunan dua tingkat di SK Padang Temu bagi memudahkan pergerakan murid berkeperluan khas,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rahmad berkata, dalam usaha menangani isu kepadatan pelajar sebuah SMK baharu di kawasan Duyong telah mula beroperasi pada Ogos 2024, manakala sebuah SK baharu di Krubong mula beroperasi pada September 2025.

“Selain itu, beberapa projek pembinaan bangunan tambahan sedang giat dilaksanakan bagi menampung keperluan pendidikan yang semakin meningkat, antaranya di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Antara projek diluluskan termasuk pembinaan enam bilik darjah baharu, lima bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bengkel PPKI, bilik mesyuarat dan dewan sekolah di SMK Durian Tunggal di bawah RMK12 Rolling Plan 5 (RP5),” katanya.

Katanya, pembinaan bangunan tambahan pula melibatkan 12 bilik darjah, blok PPKI dan kemudahan lain di SK Belimbing Dalam yang telah diluluskan di bawah RMK12 Rolling Plan 4 (RP4) Tahun 2024 serta pembinaan bangunan tambahan di SK Parit Melana, Alor Gajah di bawah RMK12 RP5 Tahun 2025.

“Kita turut menerima peruntukan projek Pembinaan Semula Bangunan Daif Tahun 2025 melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM35.14 juta.

“Projek ini membabitkan lapan sekolah termasuk SJKC On Lok Jasin, SK Sebatu, SK Simpang Empat, SK Parit Gantong, SK Kampung Tengah, SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, SMK Klebang Besar dan SJKC Chabau.

“Ini adalah bukti komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa sektor pendidikan serta memastikan anak-anak Melaka menikmati kemudahan pembelajaran yang terbaik dan selamat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

376
Kongsi :
Previous post MOLEK RESIDENCE FASA 3 IKON KEDIAMAN TERES MODEN DI BUKIT KATIL
Next post MENARA TAMING SARI BAWA KECERIAAN UNTUK MURID SK TELOK MAS