Sorting by

×

34 HAIWAN KORBAN UNTUK WARGA PARLIMEN TANGGA BATU, ARWAH ADIK AFIZUL HAKIM

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PAYA RUMPUT 6 Jun – Sebanyak 30 ekor lembu dan empat kambing disumbangkan kepada komuniti dalam Parlimen Tangga Batu bagi menjalankan ibadah korban sempena Aidiladha, tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, sumbangan itu diberikan kepada kariah masjid dan surau serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam Parlimen berkenaan, selain lima daripadanya diagihkan kepada warga tentera di Kem Terendak.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri turut menyumbangkan seekor lembu korban kepada penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di mana ia diniatkan kepada Allahyarham Muhammad Afizul Hakim Alias, 4, kanak-kanak lelaki yang maut dalam kebakaran pada 16 Mei lalu.

“Saya secara peribadi meniatkan sumbangan ini kepada Allahyarham dan ahli keluarganya, di mana saya juga akan bersama-sama menyempurnakan ibadah korban di PPR Krubong pada Ahad ini.

“Pada masa sama, haiwan-haiwan korban ini juga diniat untuk diagihkan kepada asnaf dan fakir miskin dalam kawasan Parlimen Tangga Batu yang merangkumi empat DUN iaitu Paya Rumput, Sungai Udang, Pantai Kundor dan Klebang.

“Mudah-mudahan sumbangan ini dapat membantu rakyat memerlukan, selain menjadi tanda cakna dan prihatin Kerajaan Negeri setiap kali tiba musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Haiwan Korban sempena Hari Raya Aidiladha 1446H / 2025M di Kompleks Japerun Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta lain-lain kenamaan.

Menurut Rais, penyerahan sumbangan haiwan korban itu sudah masuk tahun keempat diadakan dalam Parlimen Tangga Batu sempena Hari Raya Aidiladha.

Beliau turut berterima kasih kepada pelbagai pihak yang tampil memberikan sumbangan dan pada masa sama berharap program seumpamanya akan diteruskan dalam memperoleh keberkatan sempena bulan Zulhijah yang mulia ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1139
Kongsi :
Previous post HERNIA INGUINAL: GEJALA DAN SIMPTOM
Next post TIKET PELANCONGAN RM10 KEMBALI LAGI MALAM ESOK