Sorting by

×

3,880 PETAK PARKIR PERCUMA SEMPENA AIDILFITRI – MPJ

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 11 Mac – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menyediakan sebanyak 3,880 petak parkir percuma seluruh kawasan pentadbirannya selama seminggu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.

Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, inisiatif parkir percuma itu melibatkan semua kawasan di bawah pentadbiran MPJ termasuk Merlimau, Jasin Bestari, Sungai Rambai serta pekan-pekan kecil di daerah Jasin.

Menurutnya, inisiatif tersebut diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bagi memudahkan orang ramai merancang percutian sempena sambutan Aidilfitri.

“Secara keseluruhannya kita mempunyai lebih 3,000 petak parkir di bawah pentadbiran MPJ dan semuanya akan diberikan secara percuma sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, pada Isnin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Jelasnya, pihak MPJ menjangkakan jumlah kenderaan di kawasan bandar dan pekan di daerah Jasin akan meningkat sepanjang tempoh parkir percuma itu dilaksanakan.

“Justeru, saya menasihatkan pengguna jalan raya agar meletakkan kenderaan secara berhemah dan tidak menghalang laluan kenderaan lain walaupun kemudahan parkir disediakan secara percuma,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

469
Kongsi :
Previous post MPHTJ PASANG LAMPU HIASAN, CERIAKAN SUASANA SEMPENA AIDILFITRI
Next post ‘FREE MARKET’ BAWA SENYUMAN KEPADA ORANG ASLI MACHAP JAYA