
4 AGENSI, 42 PELAJAR BERGABUNG JADI HERO SUNGAI MELAKA
DUYONG 17 Disember – Sebanyak empat agensi bergabung memelihara kelestarian Sungai Melaka sempena program The Stream Saver x Squad Hero Sungai Melaka di Dataran Pengkalan Rama, di sini, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, program itu merupakan kerjasama PPSPM bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka Kampus Alor Gajah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan SWM Environment Sdn Bhd.
Berbentuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), beliau memaklumkan ia bertujuan mendidik masyarakat agar mencintai Sungai Melaka yang menjadi aset pelancongan serta khazanah berharga untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
“Ini merupakan projek di bawah jenama Squad Hero Sungai Melaka. Pelaksanaan program ini melibatkan penyertaan 42 pelajar dan 22 pensyarah dari UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah.
“Program ini memberi penekanan terhadap aspek pemeliharaan dan kelestarian Sungai Melaka, di samping menyediakan pendedahan praktikal kepada pelajar dalam kemahiran insaniah, kepimpinan dan tanggungjawab sosial,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada program berkenaan.

Tambahnya, program seumpamanya mencerminkan komitmen berterusan PPSPM menyahut aspirasi Melaka ke arah negeri lestari selain persediaan menyambut Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut beliau, sepanjang 2025, lebih 30 program CSR telah dianjur pihaknya melibatkan hampir 3,000 sukarelawan dengan misi memelihara kelestarian Sungai Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


