
40,000 DIJANGKA MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA SAYANG RAKYAT
AYER KEROH 25 Mac – Dianggarkan 40,000 pengunjung bakal memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat pada Sabtu ini (28 Mac 2026) bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Penganjuran rumah terbuka bermula 10 pagi hingga 4 petang itu merupakan acara tradisi Kerajaan Negeri pada setiap tahun sebagai manifestasi penghargaan kepada rakyat Melaka, di samping menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri di negeri bersejarah ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad berkata, sebanyak lebih 50 juadah akan disajikan kepada orang ramai antaranya menu hari raya, selain turut disediakan kambing golek, sate, aneka manisan serta masakan tradisional masyarakat berbilang kaum.
Menurut beliau, selain makanan, seperti kebiasaan pengunjung yang hadir juga bakal menerima sumbangan duit raya daripada Kerajaan Negeri.
“Sambutan kali ini bertemakan Melaka Sayang Rakyat yang merupakan tanda penghargaan kepada segenap lapisan rakyat Melaka tanpa mengira kaum, agama dan lapisan umur.
“Ia secara tidak langsung mencerminkan Melaka sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja menghargai rakyat, bahkan turut mementingkan agenda perpaduan dan keharmonian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Azhar, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air, antaranya Dayang Nurfaizah, P. Radhi, Yasser Fikri dan Roger Kajol.
Tambahnya, bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang penganjuran rumah terbuka itu, sebanyak tiga bas perantara (shuttle bus) dan dua van turut disediakan untuk memudahkan pengunjung.
“Orang ramai boleh meletak kenderaan di tiga lokasi iaitu di perkarangan Masjid Al-Alami MITC; perkarangan Mydin Ayer Keroh dan perkarangan Lingkaran MITC.
“Bas perantara dan van yang disediakan itu akan berulang-alik setiap 10 minit bagi membantu membawa pengunjung ke lokasi rumah terbuka di MITC,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


