Sorting by

×

46 SIRI JUALAN RAHMAH MADANI SEMPENA TAHUN BAHARU CINA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KESIDANG 11 Februari – Sebanyak 46 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena Tahun Baharu Cina dilaksanakan di seluruh Melaka bermula 3 hingga 17 Februari ini, bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat menjelang sambutan perayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat, khususnya masyarakat Tionghoa mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Menurut beliau, pelaksanaan di Melaka itu adalah sebahagian daripada 920 siri PJRM Tahun Baharu Cina yang diadakan di seluruh negara sepanjang tempoh berkenaan.

“Program Jualan Rahmah MADANI ini menawarkan tambahan SKU (unit simpanan stok) barangan keperluan yang sering digunakan oleh masyarakat Tionghoa sempena sambutan Tahun Baharu Cina, bergantung kepada lokasi dan keperluan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di Taman Pandan Mawar, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.

Armizan berkata, tiada SKU tetap ditetapkan bagi program berkenaan, namun setiap lokasi akan menyediakan sekurang-kurangnya lima hingga 10 SKU tambahan yang relevan dengan keperluan perayaan, selain barangan keperluan asas yang ditawarkan pada harga berpatutan.

Katanya, lokasi dan jadual pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI sempena Tahun Baharu Cina boleh disemak melalui takwim rasmi PJRM yang disediakan oleh pihak kementerian.

“Pelaksanaan program ini juga dilaksanakan selari dengan pemantauan bekalan barangan makanan bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga tidak membebankan rakyat sepanjang musim perayaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

463
Kongsi :
Previous post TAHUN BAHARU CINA LEBIH MERIAH BUAT 140 PENERIMA DI TANGGA BATU
Next post LALUAN BULATAN KLEBANG KE BATANG TIGA DINAIK TARAF KEPADA EMPAT LORONG