Sorting by

×

500 ANAK HANG TUAH JAYA TERIMA BEG SEKOLAH, BAUCAR RM100

Masa Membaca:57 Saat

AYER KEROH 11 Januari – Keceriaan jelas terpancar di wajah 500 anak-anak di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya yang terpilih menerima bantuan sempena sesi persekolahan baharu yang akan bermula esok.

Sumbangan itu disalurkan menerusi Program Selamat Kembali Ke Sekolah Bagi Sesi 2026 anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim berkata, program sumbangan bantuan itu antara inisiatif kemasyarakatan bertujuan meringankan beban keluarga dalam persiapan persekolahan anak-anak.

“Menerusi program ini seramai 500 anak-anak di bawah Parlimen Hang Tuah Jaya yang terpilih menerima sumbangan iaitu beg sekolah dan baucar bernilai RM100.

“Ini tahun kedua kerjasama antara Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya bersama pasar raya Mydin dalam membantu meringankan perbelanjaan sebelum bermulanya sesi persekolahan 2026,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu, inisiatif dilaksanakan itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan dan akses pendidikan pelajar sentiasa diberi perhatian.

“Program ini adalah antara usaha konsisten kami untuk memastikan tiada pelajar di Hang Tuah Jaya yang tercicir hanya kerana kekangan kewangan atau keperluan asas persekolahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

164
Kongsi :
Previous post 20 ‘KANTOI’ BUANG SAMPAH MERATA-RATA DI MELAKA
Next post PBT MELAKA RANCAKKAN TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0