
500 PESERTA BERAKSI DI DAPUR MELAKA CULINARY CHALLENGE 2025
GADEK 19 Jun – Aroma pelbagai jenis hidangan menyambut pengunjung yang singgah untuk melihat cef dari seluruh dunia beraksi pada Melaka Culinary Challenge 2025, di Freeport A’Famosa Outlet, di sini, bermula hari ini hingga Sabtu.
Presiden Persatuan Cef Melaka, Cef Rizwandy Perin berkata, pertandingan bertaraf dunia itu berjaya menarik lebih 500 peserta mewakili pelbagai intitusi kemahiran, penyedia perkhidmatan hospitaliti dan cef tempatan serta luar negara.
“Pertandingan ini adalah hasil kerjasama Persatuan Cef Melaka dan Tourism Melaka, alhamdulillah kita berjaya menarik ramai penyertaan terutamanya dalam kalangan pelajar institusi kemahiran atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seluruh negara.
“Sebanyak 39 kategori dipertandingkan dan diadili oleh 63 juri tempatan serta antarabangsa, selain itu Melaka Culinary Challenge 2025 juga diiktiraf oleh Persatuan Cef Dunia,” katanya ketika ditemui di tapak penganjuran pertandingan itu, di sini, hari ini.
Menurutnya, pertandingan itu juga menjadi medan kepada pelapis muda dalam bidang kulinari untuk menimba pengalaman baharu yang amat berguna dalam memperbaiki kelemahan diri.
Jelasnya, kulinari adalah sebahagian daripada cabang TVET yang menawarkan peluang pekerjaan dan masa hadapan yang cerah kepada graduannya.
“Saya adalah antara graduan TVET, sekali gus membuktikan kemahiran boleh membantu kita untuk terus maju. Jika kurang cemerlang dalam aspek akademik itu bukan pengakhiran dalam hidup, kita masih boleh kembangkan potensi kemahiran diri menerusi TVET yang melibatkan pelbagai jenis bidang.
“Selain itu Melaka Culinary Challenge 2025 juga digunakan untuk mencari bakat baharu dalam bidang ini untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.