Sorting by

×

5,000 ANAK MUDA MELAKA TERIMA MANFAAT KURSUS KAHWIN PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 1 November – Seramai 5,000 anak muda di negeri ini menerima manfaat menerusi insentif Kursus Pra-Perkahwinan Percuma yang disediakan Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, insentif itu melibatkan peruntukan berjumlah RM594,000 yang diumumkan pada Bajet 2025 Negeri Melaka.

Jelas beliau, inisiatif itu sekali gus mencerminkan manifestasi keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam memperkukuh institusi kekeluargaan, selaras dengan agenda pembangunan sosial negeri.

“Kebiasaanya, seorang peserta perlu membayar RM119 untuk menyertai kursus perkahwinan, namun Kerajaan Negeri di bawah MAIM Holdings memberikannya secara percuma bagi membantu anak muda mempersiapkan diri melangkah ke alam rumah tangga.

“Setakat ini, seramai 3,600 anak muda telah menyertai kursus perkahwinan percuma ini dan Kerajaan Negeri terus memberi peluang kepada 1,400 peserta lagi di seluruh Negeri Melaka sehingga hujung tahun ini untuk turut menikmati insentif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pra Perkahwinan Negeri Melaka Peringkat Parlimen Masjid Tanah di Auditorium Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu; Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad Mohd Zohaime Mohd Sore; Ketua Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah Nurul Amirah Mohd Yusof serta kenamaan lain.

Menurut Ketua Menteri, Kerajaan Negeri akan melihat secara menyeluruh impak daripada insentif tersebut dan sekiranya mendapat sambutan, ia akan diteruskan pada tahun depan.

“Jika sambutan yang diterima lebih baik, Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan tambahan peruntukan pada Bajet 2026 Negeri Melaka bagi membolehkan lebih ramai anak muda mendapat manfaat daripada insentif ini,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1095
Kongsi :
Previous post PENEMUAN RANGKA KAPAL BUKA LEMBARAN SEJARAH BAHARU MELAKA – KM
Next post MELAKA MOHON RM1 JUTA BAIK PULIH TREK BALAPAN STADIUM HANG JEBAT