Sorting by

×

507 SIRI PENGIMARAHAN MASJID, SURAU DI PEDALAMAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 10 Disember – Program pengimarahan masjid dan surau di kawasan pedalaman seluruh Melaka terus diperkasa dan berlangsung secara berterusan, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Rahmad berkata, sepanjang tahun ini sahaja Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melaksanakan 507 siri kelas pengajian dan program keagamaan di 158 masjid, 334 surau dan 20 agensi seluruh Melaka.

Katanya, usaha itu membuktikan masjid serta surau di kawasan pedalaman tidak dipinggirkan, malah terus diberikan sokongan dan diperkasakan secara berterusan oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri turut menyalurkan Bantuan Aktiviti Masjid dan Surau. Menerusi inisiatif ini masjid menerima RM2,000 manakala surau pula RM1,000 bagi melaksanakan program keagamaan dan aktiviti peringkat komuniti.

“Selain itu, pengimarahan surau secara berkala turut dilaksanakan oleh JAIM di perkampungan masyarakat Orang Asli termasuk di Bukit Payung, Tebong Stesen, Jus dan Lubuk Bandung, selain beberapa penempatan lain, sebagai usaha memastikan masyarakat pedalaman tidak terpinggir daripada aktiviti keagamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Menurut Rahmad, JAIM turut menyediakan peruntukan bayaran penceramah mengikut permohonan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Masjid dan Surau, selain melaksanakan penempatan Imam Hafiz Terawih Ramadan (IHTIRAM) di 100 masjid dan surau terpilih.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, sebagai pelengkap kepada usaha pengimarahan, program Taqarrub Ramadan turut diadakan di seluruh masjid dan surau di Negeri Melaka, selain penyediaan pembimbing agama di perkampungan masyarakat Orang Asli bagi memastikan bimbingan rohani dapat disampaikan secara berterusan.

“Mana-mana surau di kawasan pedalaman atau bukan pedalaman yang memerlukan sumbangan atau ingin melaksanakan program keagamaan boleh mengemukakan permohonan terus kepada JAIM bagi pertimbangan dan sokongan sewajarnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

205
Kongsi :
Previous post DANA PEMBANGUNAN BANTU SYARIKAT, USAHAWAN MELAKA KEMBANG PERNIAGAAN
Next post RM5.3 JUTA BAIK PULIH MASJID, SURAU DI MELAKA